Nama kumpulan Mamu mungkin tidak sehebat kumpulan-kumpulan pelawak
seperti Jambu, Sepahtu, Shiro dan Boboi yang turut bakal berentap di
gelanggang Maharaja Lawak Mega 2013.
Berkat usaha sering berlatih sebelum menjelang kerus panas MLM 2013
malam semalam, nyata membuahkan hasil apabila mereka antara tiga
kumpulan yang terpilih untuk mengisi kekosongan kerusi panas untuk layak
secara automatik ke gelanggang hebat MLM 2013.
Menurut Ajo, 28, mereka tidak menyangka kumpulan Mamu terpilih untuk
mengisi kekosongan kerusi panas memandangkan mereka antara kumpulan
‘underdog’ dan tidak meletakkan harapan tinggi untuk terpilih ke
peringkat seterusnya.
“Kami tak sangka boleh terpilih ke peringkat seterusnya dan berentap
dengan 15 kumpulan yang lain. Rasanya kami tidak meletakkan harapan
tinggi untuk mengisi kekosongan kerusi panas MLM 2013 memandangkan ada
lagi kumpulan lain yang lebih hebat.
“Mungkin kerana sering berlatih sebelum kerusi panas MLM 2013 buat
kami lebih yakin untuk berada di atas pentas dan yakinkan kepada tiga
juri bahawa Mamu layak untuk mengisi tiga kekosongan kerusi panas MLM.
Lebih parah apabila kami pembuka tirai gelanggang kerusi panas jadi
perasaan gugup pasti ada dan selalunya yang pertama selalu tidak
terpilih,” jelas Ajo kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Abu mengakui mereka tidak mempunyai ‘fanbase’ yang
kuat seperti kumpulan-kumpulan pelawak yang lain tetapi cuba untuk
mencuri tumpuan empat juri MLM 2013 di minggu hadapan untuk mengukuhkan
kedudukan mereka di gelanggang MLM.
“Kami mungkin tidak punya ‘fanbase’ yang kuat seperti kumpulan Jambu,
Sepahtu, Boboi dan Shiro. Kelebihan itu beri kekuatan dari segi undian
SMS daripada peminat jadi mungkin sebagai kumpulan ‘underdog’ kumpulan
Mamu cuba untuk curi perhatian empat juri ini nanti dan buktikan kami
sememangnya layak untuk berentap dengan kumpulan-kumpulan yang lain.
“Kumpulan Mamu harus berusaha lebih keras dan peka dengan kehendak
penonton supaya mereka mula selesa dan suka dengan gaya persembahan
kami. Ini beri kelebihan kepada kami untuk mula dikenali orang diluar
sana mengukuhkan nama kumpulan Mamu ini sendiri,” ujar Abu mengakhiri
perbualan.
Teka-teki kumpulan manakah yang bakal mengisi kekosongan kerusi panas
MLM 2013 terjawab semalam selepas tiga kumpulan iaitu Mamu, Zero dan
Gerak terpilih untuk layak secara automatik ke gelanggang Maharaja Lawak
mega 2013 pada minggu hadapan.
Ini menjadikan sebanyak 16 peserta bakal bertanding merebut gelaran
juara Maharaja Lawak Mega 2013 dan membawa pulang hadiah lumayan berupa
wang tunai sebanyak RM500,000 manakala tempat kedua dan ketiga
masing-masing membawa pulang wang tunai RM250,000 dan RM150,000.
Empat juri utama yang bakal mengadili program MLM kali ini juga turut
dirahsiakan sehingga diumumkan di minggu pertama program ini bersiaran
iaitu pada 15 November 2013 jam 10.00 malam di Astro Warna (132) dan
Mustika HD 134) serta aplikasi Astro On-The-Go.
